KOTA KINABALU: DAP Sabah menyasarkan lebih 10 kerusi dalam PRN17, kata Timbalan Pengerusi Datuk Chan Foong Hin.
Keputusan itu diputuskan dalam ‘retreat’ parti baru-baru ini namun tertakluk kepada rundingan dengan rakan gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).
Katanya DAP berhasrat mempertahankan empat kerusi sedia ada iaitu Tanjong Papat, Kapayan, Likas dan Luyang serta dua kerusi yang wakilnya telah melompat parti ke Warisan, iaitu Sri Tanjong dan Elopura.
Dalam PRN lepas, DAP bertanding tujuh kerusi.
Mengulas kenyataan Nurul Izzah Anwar dari PKR yang mahu bertanding sekurang-kurangnya 13 kerusi, Chan berkata pembahagian kerusi bergantung kepada konsensus dalaman PH.
“PRN kali ini lebih rumit dengan tiga blok utama PH-BN, GRS dan Warisan selain perbincangan kerjasama lain yang masih belum dimuktamadkan,” katanya.
Sementara itu, Parti STAR menyifatkan hasrat PKR bertanding 13 kerusi sebagai mencabar autonomi politik Sabah.
Ketua Penerangan STAR, Anuar Ghani berkata, tindakan menghantar jentera dari Semenanjung ke Sabah menunjukkan sikap tidak sensitif terhadap sentimen tempatan dan menjejaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
STAR juga mempersoalkan asas tuntutan PKR memandangkan parti itu hanya menang dua daripada 10 kerusi yang ditandingi pada PRN lalu, dan menyifatkan tuntutan terkini sebagai keterlaluan serta tidak memahami landskap politik Sabah.






