KOTA KINABALU, SABAH – Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyifatkan kemenangan Malaysia di Mahkamah Agung Belanda ke atas rayuan kumpulan Sulu merupakan hadiah istimewa untuk negeri ini sempena sambutan Hari Sabah dan Hari Malaysia tahun ini.
Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata berita baik terbabit membuktikan bahawa Sabah berdaulat dalam negara Malaysia.
“Ia sekaligus menamatkan tuntutan dari Kumpulan Sulu yang Sabah tidak pernah iktiraf sejak dari awal lagi.
“PBRS menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan atas komitmen dan usaha Kerajaan Perpaduan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
yang begitu serius untuk memastikan
segala tuntutan oleh pihak luar ke atas Sabah dapat dinoktahkan segera.
“Kejayaan ini merupakan hadiah istimewa buat rakyat Sabah sempena Sambutan Hari Sabah dan Hari Malaysia 2024. PBRS akan terus menyokong segala usaha daripada kerajaan untuk memastikan keselamatan dan kepentingan rakyat Sabah dan Malaysia dilindungi setiap masa.
“Terima kasih kerana sentiasa mempertahankan kedaulatan Sabah dalam Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said mengumumkan keputusan terbabit pada Jumaat lepas.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Agung Belanda itu sekaligus menamatkan cubaan pihak yang menuntut itu untuk menguatkuasakan tuntutan tidak sah mereka terhadap Malaysia di Belanda.