KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan beliau tidak terlibat dalam sebarang rundingan politik antara Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sambil menjelaskan pertemuannya dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini hanya tertumpu kepada pelaksanaan projek pembangunan negeri.
Jelas Ketua Merinyu Projek Sabah itu, pertemuan dengan Ketua Menteri di Pejabat Merinyu Projek Sabah itu membincangkan usaha memastikan projek pembangunan dilaksanakan mengikut perancangan, dipantau dengan berkesan serta memberikan hasil yang diharapkan rakyat.
“Untuk mengelakkan sebarang salah faham, pertemuan ini tidak menyentuh soal politik atau hubungan BN–GRS.
“Perkara tersebut sewajarnya diuruskan oleh kepimpinan kedua-dua pihak melalui saluran yang sesuai. Saya sendiri tidak terlibat dalam sebarang rundingan politik antara BN dan GRS,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Selasa.
Menurut Salleh, tanggungjawabnya ketika ini adalah membantu Kerajaan Negeri dalam pemantauan dan penyelarasan projek, termasuk mengenal pasti masalah atau kelewatan lebih awal serta membantu mempercepatkan tindakan susulan.
Dalam pada itu, Salleh yang juga Bendahari UMNO Sabah turut berpandangan bahawa BN Sabah perlu melihat peranannya berdasarkan realiti politik semasa di negeri ini.
“Dengan pengalaman dan kekuatan akar umbi yang ada, BN boleh memainkan peranan yang konstruktif dalam melengkapi GRS serta menyumbang kepada kestabilan dan keberkesanan pentadbiran, bukan semata-mata mengejar kedudukan dominan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan soal politik kepada kebijaksanaan kepimpinan parti dan menegaskan tumpuannya adalah membantu Kerajaan Negeri memastikan pembangunan dilaksanakan dengan baik serta manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat Sabah.
“Soal politik saya serahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti. Tumpuan saya adalah membantu Kerajaan Negeri memastikan pembangunan dilaksanakan dengan baik dan manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat Sabah,” katanya.






