KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menyuarakan kebimbangan terhadap harga tiket penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur yang melonjak tinggi, khususnya pada musim puncak, kerana ia bukan lagi sekadar isu perjalanan tetapi melibatkan akses pendidikan, peluang ekonomi, mobiliti sosial dan hubungan kekeluargaan rakyat Sabah.
Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan, berkata bagi rakyat Sabah, penerbangan bukan satu kemewahan tetapi keperluan kerana tiada alternatif jalan raya atau kereta api yang menghubungkan Sabah dengan Semenanjung.
“Bagi rakyat Sabah, kapal terbang bukan kemewahan, ia adalah keperluan.
“Apabila tambang terlalu tinggi, mahasiswa mungkin terpaksa menangguhkan perjalanan kembali ke kampus, usahawan muda kehilangan peluang, atlet terpaksa memikirkan semula penyertaan dalam pertandingan dan ibu bapa pula perlu mencari wang tambahan hanya untuk membeli tiket anak.
“Lebih menyedihkan apabila ada anak Sabah di Semenanjung menerima berita kecemasan atau kematian ahli keluarga, tetapi perkara pertama yang terpaksa difikirkan ialah mampukah saya membeli tiket untuk pulang?
”Jarak tidak sepatutnya menjadi hukuman kepada rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Abqaree, kos mobiliti yang terlalu tinggi akhirnya turut memberi kesan kepada pembangunan Sabah kerana rakyat negeri ini perlu menanggung “kos geografi” untuk mendapatkan peluang pendidikan, pekerjaan dan ekonomi di peringkat nasional.
Sehubungan itu, MBS menggesa Kerajaan Persekutuan dan pihak berkaitan mempertimbangkan intervensi yang lebih berkesan termasuk meningkatkan kapasiti tempat duduk ketika musim puncak, menggalakkan persaingan antara syarikat penerbangan serta memperkukuh pemantauan terhadap lonjakan tambang.
MBS turut mencadangkan supaya mekanisme bantuan atau tambang bersasar dipertimbangkan bagi golongan tertentu seperti mahasiswa, atlet serta perjalanan kecemasan keluarga.
“Kami memahami industri penerbangan mempunyai kos operasi dan harga dipengaruhi permintaan.
”Tetapi faktor geografi tidak seharusnya menyebabkan rakyat Sabah membayar harga yang terlalu tinggi untuk mendapatkan peluang yang sama.
”MBS tidak meminta tiket percuma. Kami meminta satu sistem yang lebih adil.
”Kerana penerbangan antara Sabah dan Semenanjung bukan sekadar menghubungkan dua destinasi dan ia menghubungkan keluarga, pendidikan, pekerjaan, peluang dan masa depan anak-anak Sabah,” katanya.






