Sabah, Sarawak Penyumbang Terbesar Liputan Hutan Negara – Arthur

Sabah, Sarawak Penyumbang Terbesar Liputan Hutan Negara – Arthur

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah dan Sarawak menjadi penyumbang terbesar kepada usaha Malaysia mengekalkan liputan hutan negara, dengan kedua-dua negeri mencatat kadar sekitar 62 hingga 63 peratus, melebihi kadar keseluruhan negara sebanyak 54.4 peratus.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pencapaian itu menunjukkan peranan penting kedua-dua negeri dalam membantu Malaysia memenuhi komitmen antarabangsa untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan negara sebagai kawasan berhutan.

Kita tahun ini baru-baru ini mengemukakan laporan kita kepada urus setia antarabangsa dan kita sekarang berada pada 54.4 peratus. Bererti kita melebihi kadar minimum bagi perjanjian antarabangsa itu.

Tetapi di Sabah dan Sarawak, kita lebih tinggi, sekitar 62 dan 63 peratus. Bererti Sabah dan Sarawaklah penyumbang yang paling besar kepada usaha ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan perasmian pembukaan Tropical Forestry 2026 (TF 2026), pada Selasa.

Arthur berkata, Malaysia mempunyai komitmen antarabangsa sejak 1992 di Rio de Janeiro untuk mengekalkan tidak kurang 50 peratus liputan hutan di seluruh negara.

Menurutnya, kedudukan Sabah sebagai antara penyumbang utama liputan hutan negara juga menjadikan negeri itu lokasi sesuai untuk penganjuran persidangan berkaitan perhutanan dan konservasi seperti TF 2026.

“Bererti sangat sesuailah persidangan seperti ini, usaha seperti ini, sentiasa diadakan di Sabah supaya kita boleh memberi lebih banyak lagi tumpuan dan usaha kepada konservasi kita di Sabah,” katanya.

Mengulas TF 2026, Arthur berkata persidangan anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama sektor swasta, industri, ahli akademik dan pembuat dasar itu menyediakan platform untuk meneroka pendekatan baharu dalam memanfaatkan kekayaan khazanah semula jadi negara secara mampan.

Katanya, usaha konservasi perlu bergerak seiring dengan inovasi untuk mengenal pasti potensi ekonomi sumber semula jadi tanpa mengetepikan prinsip kelestarian.

“Konservasi hanyalah satu aspek, tetapi aspek kedua adalah bagaimana kita boleh mengkomersialkan khazanah yang kita ada supaya kita boleh memanfaatkan dan membawa lebih banyak sumber pendapatan baharu kepada negeri kita.

“Tetapi pada masa yang sama, ia tetap selari dengan prinsip-prinsip kemampanan supaya ia mampan untuk generasi yang akan datang,” katanya.

Persidangan itu turut disertai peserta antarabangsa termasuk dari Indonesia, Vietnam, Jepun dan New Zealand.