KOTA KINABALU: Selepas lebih 10 tahun memikirkan pegangan agama yang mahu dianutinya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Ruddy Awah, 58, akhirnya memilih Islam sebagai pegangan hidup selepas hatinya terbuka tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.
Memetik laporan Berita Harian, Ruddy berkata, keputusan itu dibuat selepas sekian lama mengikuti ceramah agama Islam dan mempelajari tatacara agama berkenaan, selain pengalaman puluhan tahun menyantuni masyarakat berbilang agama termasuk membantu masjid, surau dan gereja di Pitas.
“Mungkin saatnya sudah tiba. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk memeluk Islam,” katanya.
Ruddy yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah berkata, sejak sebelum menjadi wakil rakyat beliau sudah membantu rumah ibadat tanpa mengira agama apabila menerima permohonan sumbangan, dan amalan itu diteruskan selepas menjadi ADUN.
Menurutnya, sebanyak 1,001 gereja, selain surau dan masjid di Pitas, masing-masing menerima sumbangan RM1,000 setiap tahun. Beliau turut menganjurkan majlis berbuka puasa dan sambutan Aidilfitri serta menyumbangkan lembu korban kepada surau dan masjid di kawasan berkenaan.
Walaupun ketika itu berpegang kepada kepercayaan pagan, Ruddy berkata, beliau turut melantik sembilan guru Fardu Ain untuk mengajar al-Quran di Pitas dengan setiap seorang menerima bayaran RM1,000 sebulan menggunakan wang peribadinya. Selain itu, beliau menyediakan van jenazah secara percuma untuk kegunaan umat Islam dan Kristian serta menyumbangkan kain kafan di surau.
“Dengan adanya sumbangan kepada surau dan masjid, bantuan guru Fardu Ain, serta kemudahan van jenazah untuk umat Islam dan Kristian yang disediakan secara percuma untuk kegunaan bersama, serta kain kafan di setiap surau, perkara-perkara inilah yang membuatkan hati saya terbuka,” katanya.
Ruddy menegaskan keputusannya memilih Islam bukan disebabkan faktor politik, keluarga atau sebarang tawaran daripada mana-mana pihak, sebaliknya lahir daripada keikhlasan hati selepas menerima hidayah.
“Saya terbuka hati untuk memilih Islam. Ini bukanlah paksaan mana-mana pihak, sebaliknya ikhlas daripada hati saya, isteri dan anak-anak saya.
“Sudah cukup lama isteri saya menanti. Selama 10 tahun beliau mengajak saya masuk Islam, tetapi ketika itu hidayah belum sampai. Namun apabila tiba masanya dan hidayah itu sampai, hati saya terbuka tanpa sebarang paksaan,” katanya.
Menurut laporan itu, isteri dan lima daripada enam anak Ruddy sudah memeluk Islam lebih awal. Beliau juga membina sebuah surau di kawasan rumahnya yang siap kira-kira dua bulan lalu.
Ruddy berkata, keputusannya memeluk Islam tidak menjejaskan hubungan dengan keluarga besar serta masyarakat Kristian di Pitas yang sudah diberikan penjelasan lebih awal.






