KOTA KINABALU: Tokoh korporat, Ketua Polis Negara serta beberapa barisan pemimpin muda Sabah antara senarai penerima anugerah darjah negeri sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, hari ini.
Tokoh industri minyak dan gas serta teknologi, Datuk Abdul Farish Abd Rashid, bersama Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, menerima darjah kebesaran tertinggi negeri, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.
Dalam masa sama, beberapa pemimpin muda turut mencuri tumpuan apabila tersenarai sebagai penerima Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk, termasuk Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa; serta Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Bung Moktar.
Turut menerima PGDK ialah beberapa tokoh penting lain termasuk Pengarah JHEAINS Awang Juri Awang Tahir, Hakim Mahkamah Tinggi Maslinda @ Linda Datuk Mohd Ainal, Pengerusi Sabah Electricity Saadiah Aziz, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Dr William Gotulis, Ketua Konservator Hutan Sabah Zulkifli Suara serta Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Haniza Abdul Wahab.
Selain itu, seramai 117 individu menerima Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), 192 menerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK), 26 menerima Bintang Setia Kinabalu (BSK), 249 menerima Bintang Kinabalu (BK), 113 menerima Pingat Perkhidmatan Terpuji dan 13 individu dilantik sebagai Jaksa Pendamai.
Antara penerima Jaksa Pendamai ialah Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahemad Sade, Peguam Datuk Ram Singh, Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat Datuk John Ambrose, Pengerusi Sabah Air Aviation Emmie Martin Idang serta Lim Min Chee.






