KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Kewangan Jasnih Daya berkata, kerajaan telah meluluskan sebanyak RM12,413,000 permohonan peruntukan daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) kawasan pembangkang di negeri ini.
Katanya, peruntukan berkenaan diluluskan setakat Jun tahun ini membabitkan sebanyak 354 projek kecil.
“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM11,173,000 sudah disalurkan dan ada yang dalam proses penyaluran kepada pejabat UPPM yang berkenaan.
“Jumlah yang selebihnya masih dalam proses mendapatkan maklumat lengkap dari pejabat yang terlibat.
“Permohonan bagi mendapatkan peruntukan ini perlu dikemukakan kepada Ketua Menteri.
“Ini bermaksud bahawa peruntukan hanya akan disalurkan ke pejabat yang berkenaan sekiranya ada kelulusan daripada Ketua Menteri dan ia tertakluk kepada prosedur kewangan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Alias Sani (WARISAN-Sekong) mengenai jumlah peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan negeri kepada UPPM di kawasan-kawasan ADUN pembangkang.
Jasnih berkata, kerajaan turut berharap agar pihak UPPM yang terlibat dapat mengemukakan permohonan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.
Langkah itu jelasnya, bagi melancarkan dan mempercepatkan proses penyaluran peruntukan khas berkenaan oleh pihak Kementerian Kewangan.





