Elaun Petugas Markas STAR Masih Belum Dibayar

Elaun Petugas Markas STAR Masih Belum Dibayar

0
SHARE

TAMBUNAN: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan tampil sekali lagi dengan penjelasan bahawa elaun petugas semasa PRN ke-17 akan dibayar.

Walaupun sehingga kini petugas masih tertunggu-tunggu, beliau menafikan keras dakwaan bahawa parti sengaja tidak mahu membayar.

Katanya, tiada niat untuk membiarkan petugas yang berpanas berhujan semasa kempen itu terus menanggung kekecewaan, cuma dana parti telah dibekukan oleh pihak pusat sebelum kempen bermula.

“Tuduhan bahawa STAR tidak mahu membayar adalah fitnah. Dana dibekukan di saat akhir dan ia memberi kesan langsung kepada urusan pembayaran.

“Petugas kita telah berkorban masa dan tenaga, dan mereka tetap akan menerima elaun seperti dijanjikan,” katanya.

STAR kini dikatakan sedang menguruskan pembukaan semula dana tersebut.

Dalam masa sama, Jeffrey mengingatkan bahawa rakyat Tambunan tetap memberi mandat besar kepada beliau.

Katanya, kemenangan majoriti besar itu menjadi bukti keyakinan rakyat terhadap perjuangan parti, meskipun mereka yang bekerja keras masih menanti ganjaran asas.

Beliau terus menasihatkan penyokong supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan negatif atau apa-apa rasa tidak puas hati, walaupun poket masih kosong dan janji masih bersifat teori.