15 Artis Veteran Sabah Terima Sumbangan YKAT Sempena Tahun Baru Cina 2024

15 Artis Veteran Sabah Terima Sumbangan YKAT Sempena Tahun Baru Cina 2024

0
SHARE
Masidi
Masidi (tiga dari kiri) bersama Dave (kiri) dan lain-lain penerima sumbangan YKAT ( Sumber Foto: MOF Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) membuka tirai tahun baharu melalui pemberian sumbangan kepada artis-artis veteran Sabah.

Masih di bawah naungan yang sama, pengurusan YKAT dianggotai oleh sembilan orang iaitu Datuk DJ Dave sebagai Pengerusi, Datuk M Nasir sebagai Naib Pengerusi, Datuk Nash, Datuk Yusof Haslam, Datuk Nancie Foo, Dr. S. Kanagarajan, Colin Lionel Edmonds, Datuk Andrew Lim Tatt Keong dan Prof Emeritus Datuk Dr Ahmad Zainuddin.

“Tahun ini merupakan tahun ke-12 YKAT ditubuhkan. Sehingga kini hampir 1,900 insan seni telah dibantu oleh YKAT dan usaha ini akan tetap diteruskan,” ujar Dave.

Pada Rabu, YKAT menganjurkan Majlis Sumbangan kepada Artis-artis Veteran Sabah Sempena Perayaan Tahun Baru Cina di samping menyambut ulangtahun kelahiran DJ Dave yang ke 76.

Majlis diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Kewangan Sabah.

Sumbangan kepada 15 artis veteran Sabah ini disampaikan oleh Masidi diiringi Dave, Yusof dan Ahmad.

Sumbangan berbentuk wang tunai berjumlah RM1,000 ini diberikan kepada artis-artis yang telah berumur 60 tahun sebagai tanda penghargaan di dalam industri seni tanahair.

Sumbangan adalah daripada dana yang diperolehi oleh kerajaan sejak penubuhannya pada tahun 2012.

Dana tersebut digunakan secara berhemah oleh pihak pengurusan YKAT untuk menjalankan pelbagai aktiviti seni juga membantu dalam kebajikan artis-artis tanahair iaitu di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Antara artis-artis yang menerima sumbangan adalah Piton Gunsaga, Peter Dickie Lee, Abu Bakar Ellah, Datuk Awang Sahari, Slyvia Batin dan beberapa lagi.

Bagi YKAT, ini bukanlah sumbangan kali pertama kepada artis-artis di Sabah kerana sebelum ini YKAT pernah menyalurkan sumbangan kepada beberapa artis Sabah yang lain dan turut membantu semasa bencana Pandemik COVID-19.

“Dalam masa yang sama kami turut berharap untuk terus mendapat sokongan dari pelbagai pihak baik dari segi tajaan dana mahupun apa juga sokongan agar kami terus-menerus menjaga kebajikan artis-artis tanah air,” ujar Dave lagi.

Majlis turut meraikan bersama penghuni tiga buah rumah Kanak-Kanak Istimewa iaitu Rumah Bakti Harapan, The National Autism Society Of Malaysia dan Persatuan Sindrom Down Kota Kinabalu Sabah.

Seramai 45 kanak-kanak istimewa menyanyikan lagu hari jadi dan memotong kek sambil menerima cenderamata daripada Dave.