Warisan Ketandusan Idea, Berlindung di Sebalik Slogan “parti orang Sabah”

Warisan Ketandusan Idea, Berlindung di Sebalik Slogan “parti orang Sabah”

0
SHARE

KOTA KINABALU, 17 Oktober – Ketua Penerangan UMNO Libaran, Shariff Ismarhafiz Sh Ab Rahman, menyifatkan tuduhan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa parti nasional seperti Barisan Nasional (BN) mengongkong Sabah sebagai bukti jelas bahawa Warisan semakin ketandusan idea.

Beliau berkata, apabila gagal mentadbir dan ditolak rakyat, Warisan memilih untuk menuding jari serta berlindung di sebalik slogan “parti orang Sabah.”

“Hakikatnya, Warisan pernah bersekongkol dengan parti Semenanjung apabila berkuasa. Dulu bergantung pada Pakatan Harapan untuk naik, kini pura-pura jadi pejuang Sabah. Ini bukan perjuangan — ini politik dua muka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau mengulas video yang dimuat naik Isnaraissah yang membidas Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir di Facebook.

Mengulas lanjut, Shariff turut mempersoalkan pencapaian Warisan semasa mentadbir negeri, apabila banyak projek pembangunan tergendala, termasuk Pan Borneo, projek sekolah daif, serta hubungan tegang dengan Kerajaan Persekutuan yang akhirnya menjejaskan rakyat.

“BN tidak datang untuk mengongkong Sabah. BN datang untuk membina.

“Dari zaman Tun Mustapha hingga kini, BN-lah yang membina sekolah, jalan raya, hospital, bekalan air dan elektrik luar bandar,” jelasnya.

Menurut beliau, Warisan boleh terus bermain retorik, tetapi rakyat Sabah sudah tahu siapa yang bekerja dan siapa yang sekadar bercakap.

“Sabah tidak akan maju dengan politik dendam. Sabah hanya akan maju dengan kestabilan, kesinambungan dan kejujuran dalam berkhidmat,” tegas Shariff.