KOTA KINABALU: Dua individu cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan motosikal di Pusingan U, Taman Canggih Kalansanan, petang kelmarin.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.21 petang.
Susulan itu, pasukan tiba di lokasi tujuh minit kemudian dengan kekuatan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas yang diketuai oleh PBK I Saflan Sapri.
“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan sebuah motosikal yang mengakibatkan dua mangsa termasuk penunggang lelaki berumur 36 tahun dan pembonceng wanita berumur 38 tahun, mengalami kecederaan.
“Manakala, pemandu kereta tidak cedera,” jelas Bomba dalam kenyataan di sini, semalam.
Pasukan bomba memberikan rawatan awal kepada kedua-dua mangsa sebelum mereka dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan jentera EMRS Bomba dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM yang masing-masing terdiri daripada dua dan tiga anggota.
Setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.00 malam.






