KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalinkan kerjasama dengan KTI Development Sdn Bhd bagi memperluas kemudahan penginapan luar kampus susulan peningkatan jumlah pelajar, khususnya dari luar negara.
Melalui perjanjian itu, KTI akan menyediakan penginapan pelajar di Kayana Heights, Alamesra, kira-kira 2km dari kampus utama UMS, dengan 866 unit fasa pertama dijangka siap menjelang akhir 2027.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata kira-kira 10,000 pelajar kini tinggal di luar kampus berikutan kapasiti penginapan universiti yang terhad.
Katanya, jumlah itu dijangka meningkat dengan kemasukan pelajar antarabangsa yang semakin bertambah, termasuk unjuran sekitar 2,500 pelajar tahun depan berbanding kira-kira 400 pelajar tahun ketiga yang dijangka tiba tahun ini.
“Permintaan akan terus meningkat dengan pembangunan Hospital Pengajar UMS yang dijangka memerlukan penginapan bagi kira-kira 1,500 kakitangan kejururawatan,” katanya.
Pengarah Eksekutif Kumpulan KTI, Wilson Loke, berkata pembangunan itu akan menyediakan unit berperabot asas, WiFi serta kemudahan penting dalam persekitaran yang selamat dan terurus.
Projek berkenaan akan merangkumi kira-kira 2,165 unit secara keseluruhan, dengan fasa pertama kini dalam pembinaan.
Kerjasama itu turut dilihat menyokong usaha menjadikan Sabah sebagai hab pendidikan antarabangsa, susulan kekurangan penginapan sebelum ini antara faktor yang mendorong pelajar asing memilih destinasi lain.






