Warga Emas Terpaksa Berpaut Pada Kerusi Roda, Gambar Pilu Cetus Desakan Segera...

Warga Emas Terpaksa Berpaut Pada Kerusi Roda, Gambar Pilu Cetus Desakan Segera di Hospital Lotong

0
SHARE

KOTA MARUDU: Tular gambar menyayat hati memaparkan dua warga emas, salah seorang menggunakan kerusi roda manakala isterinya terpaksa berpaut pada pemegang untuk duduk mencangkung kerana kekurangan kerusi di Hospital Lotong mencetuskan perhatian ramai pada Isnin.

Gambar yang dimuat naik pengguna Facebook, Celesrayeano Cladius, mendakwa keadaan hospital sejak jam 7.30 pagi dipenuhi pesakit sehingga ramai terpaksa berdiri untuk tempoh yang lama.

“Please tambah at least kerusi di Hospital Lotong. Dari jam 7.30 sudah hospital penuh, banyak berdiri.

“Sampai sekarang jam 10 dan mungkin berlarutan sehingga petang, masih sangat penuh… Saya tidak apa, tapi saya kesian yang tua-tua, sakit-sakit, tiada anak yang ikut jaga, terpaksa berdiri. Mau duduk di lantai pun susah sebab terlalu sesak,” katanya.

Beberapa pengguna lain tampil berkongsi rasa simpati dan gesaan supaya tindakan segera diambil.

Seorang pengguna, Mdm Hanz, berkata golongan muda dan sihat perlu lebih bertolak ansur.

“Bila keadaan begini, yang muda dan sihat tu, perlu tolak ansur bagi yang tua dan mengandung duduk.”

Sementara itu, Patt Gampalid menyarankan Hospital Lotong mencontohi sistem perkhidmatan di Klinik Kesihatan Menggatal yang menyediakan bilik khas untuk warga emas dan OKU selain jadual temu janji pagi dan petang bagi mengurangkan kesesakan.

Kane Stephen pula mengingatkan agar orang ramai menunjukkan keprihatinan.

“Jangan hanya duduk melihat. Pergilah cari atau tegur mana-mana orang yang duduk di kerusi untuk bagi antie ni duduk,” katanya.

Pengguna lain, termasuk Rose April dan Pasod Tosiou, turut membidas kurangnya perhatian terhadap kebajikan pesakit warga emas serta OKU oleh pihak hospital.

Seorang pengguna dengan nama Songkoboroso Nekepio menyifatkan hospital itu perlu dinaik taraf.

“Ini dari zaman nenek moyang lagi sampai beranak anak masih itu-itu juga tu hospital, tidak ada perubahan, kasihan betul,” katanya.

Anak kepada pasangan warga emas dalam gambar tersebut, Ruth J Kandok, mengesahkan ibu bapanya hadir untuk temu janji pada hari kejadian.

“Ada juga kakak dan abang ipar saya teman mereka tapi mungkin di luar sebab terlalu sesak kali… perlu upgrade sudah bah Hospital Lotong ni,” tulisnya.

Dalam masa sama, beberapa netizen turut menanda nama Ahli Dewan Undangan Negeri Bandau, Datuk Maijol Mahap, serta Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda, dengan harapan isu kesesakan dan kekurangan fasiliti itu mendapat perhatian segera pihak berwajib.