TUARAN, SABAH – Kanak-kanak lelaki 10 tahun maut direnjat ketika cuba mengambil layang-layangnya yang tersangkut pada tiang elektrik di Kampung Tembiluk, Mengkabong kelmarin.
Mangsa bermain bersama seorang lagi rakan, 12 tahun, di kawasan tanah lapang bekas sawah padi dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu.
Ketua Polis Daerah, DSP Mohd Hamizi Halim berkata mangsa telah menggunakan sebatang besi untuk cuba mengait layang-layang tersangkut itu.
“Berdasrkan percakapan saksi, mangsa terus tidak sedarkan diri selepas tersentuh wayar elektrik,” katanya.
Bapa mangsa pula hanya menyedari kejadian selepas dimaklumkan oleh adik iparnya yang melihat mangsa sudah terlantai.
“Mangsa melecur separuh badan dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tuaran…
“Mayat mangsa ditempatkan di Unit Forensik Hospital Tuaran bagi mengikuti proses SOP Covid-19 sebelum proses bedah siasat,” kata Hamizi.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan penuh bedah siasat diperolehi.