Lelaki 44 Tahun Maut Ditembak Di Hutan Simpan SAFODA, Seorang Suspek Ditahan

Lelaki 44 Tahun Maut Ditembak Di Hutan Simpan SAFODA, Seorang Suspek Ditahan

0
SHARE

KOTA BELUD: Seorang lelaki berusia 44 tahun disahkan maut selepas dipercayai terkena tembakan ketika berada di kawasan hutan Simpan Stesen SAFODA, Ulu Kukut, di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud,Sharuddin Mat Husain berkata, pihaknya menerima panggilan pada 28 Februari 2026 kira-kira jam 7.17 malam berhubung seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh dari pokok semasa aktiviti memburu dan tidak sedarkan diri.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bersama petugas perubatan telah ke lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia 44 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring kira-kira 5.2 kilometer dari Pejabat Ladang SAFODA dengan kesan kecederaan pada bahagian kepala dan badan yang dipercayai akibat kesan tembakan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati mangsa keluar memburu bersama seorang lelaki berusia 35 tahun pada pagi hari kejadian.

“Susulan itu, pihak polis telah menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan. Turut dirampas selaras senapang jenis bakakuk serta beberapa barangan berkaitan untuk tujuan pemeriksaan forensik dan analisis balistik,” katanya.

Tambahnya, permohonan reman terhadap suspek telah dibuat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sharuddin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.

“Siasatan masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai,” katanya.