1,300 Bakul Makanan Fasa 2 Disalur Terus Kepada Mangsa Banjir di Melalap

1,300 Bakul Makanan Fasa 2 Disalur Terus Kepada Mangsa Banjir di Melalap

0
SHARE

TENOM: Sebanyak 1,300 bakul makanan Fasa 2 akan mula diagihkan kepada mangsa banjir di Melalap bermula hari ini, dengan penghantaran dibuat terus kepada Ketua Isi Rumah (KIR) di setiap kampung yang terjejas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, bantuan berkenaan diselaraskan oleh Pusat Khidmat Rakyat ADUN Melalap bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Melalap bagi memastikan agihan berjalan lancar dan tersusun.

Menurut beliau, bantuan Fasa 1 sebelum ini telah disampaikan kepada mangsa di setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada hari pertama dan kedua banjir besar yang melanda daerah Tenom.

“Bagi Fasa 2 ini, penghantaran akan dibuat terus kepada Ketua Isi Rumah di kampung-kampung terjejas bagi memastikan semua mangsa menerima bantuan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jamawi memaklumkan kesemua 1,300 bakul makanan berkenaan telah dibungkus dan disediakan oleh petugas serta sukarelawan Pusat Khidmat Rakyat yang bertungkus-lumus sejak hari pertama bencana melanda kawasan tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan misi bantuan itu termasuk para penyumbang, petugas, sukarelawan serta Tenom Four Wheel Drive Club yang membantu melancarkan proses penghantaran.

“Saya amat menghargai komitmen dan kerjasama semua pihak yang tampil membantu mangsa-mangsa banjir dalam keadaan mencabar ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan rasa simpati terhadap semua penduduk yang terjejas akibat bencana tersebut dan berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban keluarga mangsa.

“Kepada semua mangsa banjir, saya amat bersimpati dengan apa yang berlaku. Semoga sedikit bantuan ini dapat meringankan bebanan kalian sekeluarga,” ujarnya.

Jamawi berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan memastikan kebajikan penduduk terjejas diberi perhatian berterusan sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya.