LAHAD DATU: Tujuh individu mengalami kecederaan ringan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Segama menghala ke Sandakan, pada petang Ahad.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 2.57 petang sebelum sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu (BBP Lahad Datu) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK II Roger Eging Garuda melaporkan kemalangan tersebut melibatkan sebuah Toyota Hilux dan Perodua Aruz yang bertembung.
Menurut Ketua Balai BBP Lahad Datu, Sumsoa Rashid, kesemua tujuh mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi pada jam 3.17 petang.
“Kesemua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan. Pasukan bomba telah memberikan rawatan awal di lokasi sebelum menghantar mereka ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa yang terlibat terdiri daripada empat penumpang Perodua Aruz iaitu seorang lelaki dewasa (selamat), seorang wanita dewasa (cedera ringan), seorang kanak-kanak lelaki (cedera ringan) dan seorang kanak-kanak perempuan (cedera ringan).
Sementara itu, Toyota Hilux pula dinaiki tiga mangsa terdiri daripada seorang lelaki dewasa (selamat), seorang wanita dewasa (cedera ringan) dan seorang kanak-kanak perempuan (cedera ringan).
Operasi melibatkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan enam anggota serta satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dengan tiga anggota.
Turut membantu di lokasi ialah seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.05 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.






