PUTRAJAYA – Vaksin COVID-19 jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech sesuai sebagai dos penggalak, demikian menurut hasil kajian pelalian COVID-19 di Thailand dan Chile.
Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Institut kesihatan Negara, Dr Kalaiarasu M Peariasamy, berkata berikutan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil keputusan menggunakan vaksin Comirnaty sebagai dos penggalak.
Beliau yang dipetik BH berkata, pada masa ini, hanya mereka yang menerima vaksin jenis Comirnaty dan tidak mengalami alahan terhadap vaksin jenis itu yang diberikan dos penggalak vaksin berkenaan.
“Kajian terhadap vaksin Pfizer (Comirnaty) apabila dos penggalak diberi, dan pemeriksaan yang dibuat selepas pemberian dos ketiga serta membandingkan di antara jenis strain asal Wuhan dan Delta…
“Apa yang kita lihat, untuk golongan muda dan lebih 65 tahun, vaksin Pfizer yang diberi sebagai dos penggalak menunjukkan peningkatan imuniti. Ini pada tahap yang tinggi,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, semalam.
Yang turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Kalaiarasu berkata, kajian di Chile mendapati dos penggalak secara homologous, iaitu penerima vaksin Coronavac menerima dos penggalak dari jenis vaksin sama, menunjukkan peningkatan keberkesanan terhadap jangkitan di antara 56 hingga 80 peratus.
Katanya, bagi dos penggalak yang diberikan secara heterologous, iaitu Comirnaty menunjukkan kadar keberkesanan di antara 56 hingga 90 peratus dan di antara 56 hingga 93 peratus bagi vaksin keluaran AstraZeneca.
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, vaksin CoronaVac keluaran Sinovac digunakan sebagai dos penggalak pada masa depan, namun ketika ini Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) masih belum memberikan kelulusan.
Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata, dosier membabitkan dos pengggalak dari AstraZeneca serta Sinovac sudah diterima oleh NPRA dan akan dibincang serta dinilai pada 17 November ini.
BH sebelum ini melaporkan, lebih 122,000 individu di Sarawak akan menerima suntikan dos ketiga dan dos penggalak vaksin COVID-19, pada 13 Oktober lalu, apabila proses pemberiannya dimulakan oleh KKM di negeri itu.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dilaporkan berkata, dos penggalak vaksin COVID-19 diberikan kepada kelompok penerima pertama secara percuma dan sukarela.
Khairy dilaporkan berkata, hanya vaksin Comirnaty mendapat kelulusan bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 8 Oktober lalu dan KKM merancang memulakan kajian pemberian dos penggalak bagi jenis vaksin berlainan yang akan dilaksanakan di Sarawak, sebelum diperluas ke negeri lain selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan.
Bagaimanapun, Khairy pada Khamis baru-baru ini dilaporkan berkata, sebanyak 40 peratus golongan sasaran yang diberikan janji temu untuk mendapatkan suntikan ketiga dos penggalak vaksin COVID-19 tidak hadir untuk menerima suntikan masing-masing, sekaligus mencetuskan kerisauan kerana jumlah kehadiran penerima untuk dos pertama dan kedua vaksin tinggi iaitu lebih 95 peratus.