KUALA LUMPUR – Kempen #GengSubuhMacamJumaat yang dikelola Alif Satar pada hari pertama 2024, semalam, mendapat sambutan hangat apabila disertai kira-kira 3,000 jemaah.
Memetik sumber Berita Harian, kempen yang bermula dengan solat subuh berjemaah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara di sini, disusuli dengan acara ‘jongging’ beramai-ramai.
Alif dalam hantaran dimuat naik di Instagram (IG) meluahkan rasa terharu apabila kempen yang digerakkan sejak November tahun lalu, mendapat sambutan menggalakkan sempena ketibaan 2024.
“Alhamdulillah, terima kasih semua yang datang dan memeriahkan kempen ini. Kita hendak sambung momentum seterusnya cabaran 40 hari #GengSubuhMacamJumaat sebelum tiba Ramadan yang hanya tinggal kira-kira 70 hari lagi dari sekarang.
“Kalau cabaran Ironman (pertandingan kecergasan) hanya saya seorang boleh buat, tetapi cabaran subuh ini semua orang boleh buat.
“Sekiranya ada mana-mana ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang nak buat perkara sama, boleh hubungi AJK Masjid Saidina Umar. Kita teruskan tanda pagar ini.
Pada mereka yang belum mula lagi, saya tidak tahu apa yang anda tunggu lagi… Jom sama-sama kita jayakan,” katanya.
Sementara itu, Alif mengaku seronok kerana selama ini hanya berlari sendirian selepas solat subuh. Malah, imam masjid turut menemaninya walaupun hanya berkain pelikat.
Alif juga berkata, kempen itu akan diteruskan pada acara KL Free Car Morning, tidak lama lagi dan berharap sambutan serupa diterima.
Kempen #GengSubuhMacamJumaat tercetus selepas Alif mendengar ceramah seorang ustaz berkaitan isu Palestin. Penceramah terbabit mempersoal bagaimana hendak memerangi Israel jika takut mengantuk untuk menunaikan solat di masjid.