KUALA LUMPUR: Pelakon Siti Hariesa berdepan cabaran membawakan karakter sarat emosi dan trauma menerusi drama Sumpahan Mencintai, manakala Niezam Zaidi pula tampil dengan sisi berbeza menerusi watak lelaki ‘green flag’ selepas sering dikaitkan dengan karakter antagonis.
Drama terbitan Radius One Sdn Bhd arahan Rashid Sibir itu menggabungkan elemen emosi, kekeluargaan, cinta dan misteri menerusi watak Akiera lakonan Siti Hariesa dan Zakief yang dibawakan Niezam.
Sumpahan Mencintai mengisahkan Akiera yang kembali ke kampung halaman selepas tiga tahun dengan membawa kesan trauma daripada kejadian penculikan yang memaksanya menyaksikan satu pembunuhan.
Kebenaran mengenai kejadian itu bagaimanapun dirahsiakan demi menjaga hubungan kekeluargaan, menyebabkan Akiera terpaksa memikul beban trauma dalam diam.
Kepulangannya turut menyaksikan Akiera berdepan tuduhan, penolakan dan pandangan serong masyarakat termasuk daripada individu terdekat.
Bagi Siti Hariesa, karakter Akiera memberikan cabaran berbeza apabila dia perlu memainkan dua keadaan emosi yang bertentangan dalam satu watak.
“Sebagai Akiera saya perlu banyak bermain dengan emosi seperti bersikap ceria pada situasi normal dan kemudian menjadi trauma apabila terkenang hal-hal buruk yang berlaku kepadanya.
“Jadi boleh dikatakan saya berjaya menjalani transisi mood normal ke trauma atau sebaliknya adalah dengan mengikut emosi dan pemahaman saya selepas membaca skrip serta bantuan pengarah serta seluruh tim produksi drama ini,” katanya.
Sementara itu, Niezam menerusi watak Zakief tampil dengan karakter berbeza berbanding watak lelaki keras, bermasalah, psiko atau ‘red flag’ yang sering dibawakannya sebelum ini.
Zakief pada awalnya digambarkan sebagai lelaki yang cepat menghukum Akiera sebelum berubah selepas mula memahami perkara sebenar yang dilalui wanita itu.
Perubahan berkenaan menyaksikan rasa benci Zakief bertukar kepada tanggungjawab dan akhirnya cinta, sekali gus menampilkan sisi ‘green flag’ menerusi seorang lelaki yang memilih untuk melindungi dan berdiri di sisi wanita dicintainya.
Selain perjalanan Akiera dan Zakief, drama berkenaan turut mengetengahkan persoalan mengenai trauma, penghakiman masyarakat, ketabahan wanita, maruah keluarga, kebenaran serta peluang membina semula kehidupan.
Barisan pelakon lain yang turut membintangi Sumpahan Mencintai ialah Nafiez Zaidi, Yuna Rahim, Uyaina Arshad, Ellya Keesha, Dilla Ahmad, Zaid Erakad dan Sharul Kamal.
Sumpahan Mencintai ditayangkan mulai 14 September hingga 22 Oktober 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam menerusi Slot Megadrama di Astro Ria atau Sooka.






