Pengarah Syarikat, Pegawai JTU Didakwa Terlibat Pertuduhan Suapan RM18,000 Berkaitan Operasi Lombong...

Pengarah Syarikat, Pegawai JTU Didakwa Terlibat Pertuduhan Suapan RM18,000 Berkaitan Operasi Lombong Emas

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang pengarah syarikat dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Galian Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Negeri Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini pada Isnin, atas masing-masing tiga pertuduhan berkaitan pemberian dan penerimaan suapan berbentuk pinjaman tunai berjumlah keseluruhan RM18,000 bagi memudahkan pengoperasian pelombongan emas sebuah syarikat.

Chong Tzu Khen, 69, Pengarah Eksekutif Wullersdorf Resources Sdn Bhd (WRSB), berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Chong didakwa secara rasuah memberikan suapan berupa pinjaman tunai RM10,000 kepada Robert Robin Millip, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Galian JTU Sabah, sebagai upah bagi memudahkan pengoperasian pelombongan emas WRSB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar April 2024 di sebuah restoran di Taman Fortuna, Kota Kinabalu.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Chong didakwa memberikan pinjaman tunai masing-masing RM3,000 sekitar Oktober 2024 dan RM5,000 sekitar Oktober 2025 kepada Robert bagi tujuan sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai kopi di daerah Kota Kinabalu.

Sementara itu, Robert, 60, yang bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Galian (Kontrak) JTU Sabah, berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Dia didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya pinjaman tunai RM10,000, RM3,000 dan RM5,000 daripada Chong sebagai upah bagi memudahkan pengoperasian pelombongan emas WRSB.

Kedua-dua tertuduh tidak mengaku salah terhadap pertuduhan masing-masing di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin tempatan serta menetapkan 27 Oktober depan untuk pengurusan kes.

Mereka turut diperintahkan melapor diri di pejabat SPRM terdekat sekali sebulan, menyerahkan pasport antarabangsa dan/atau pasport terhad kepada mahkamah serta tidak mendekati saksi pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Ram Singh.

Jika sabit kesalahan, Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.