KOTA KINABALU: Sabah dijangka layak memperoleh tambahan sehingga 13 kerusi Parlimen baharu berdasarkan nisbah bagi mengimbangi satu pertiga perwakilan Sabah dan Sarawak.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, jumlah berkenaan perlu dibincangkan di peringkat Kabinet Negeri sebelum dilaksanakan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurutnya, sekiranya Sabah mendapat tambahan 13 kerusi Parlimen, jumlah keseluruhan kerusi Parlimen negeri ini akan meningkat kepada 38 berbanding 25 ketika ini.
Beliau turut menjangkakan pertambahan kerusi DUN bagi mengimbangi jumlah kawasan Parlimen baharu yang bakal diwujudkan.
Sabah ketika ini mempunyai 73 kawasan DUN dan Masiung menjangkakan pertambahan antara 25 hingga 28 kerusi baharu.
“Faktor geografi kedua-dua negeri wilayah Borneo yang meliputi kawasan terpencil di pedalaman menuntut tambahan perwakilan yang lebih representatif dan setara.
“Suara etnik minoriti yang jauh terpinggir di kawasan luar bandar memerlukan wakil yang seimbang sesuai dengan perkembangan dan kemajuan negara.
“Jangkaan itu dilihat relevan bagi memastikan peruntukan pembangunan negeri dan Parlimen dapat diagihkan secara lebih mikro,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan upacara menandatangani perjanjian persefahaman antara Sedco Communication Sdn Bhd (Scomm) dan tiga syarikat swasta, di sini pada Isnin.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, tumpuan harus diberikan kepada Sabah, khususnya beberapa daerah yang berdepan kadar kemiskinan tinggi seperti Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu.
Beliau menjangkakan pertambahan kerusi DUN dan Parlimen akan lebih banyak tertumpu di kawasan Pantai Timur dan Pedalaman Atas.
Menurutnya, Tongod direkodkan sebagai antara daerah paling luas di Sabah, diikuti Kinabatangan, Lahad Datu, Ranau, Beluran, Pensiangan dan kawasan Pedalaman Atas.
Katanya, kawasan berkenaan berpotensi untuk mempunyai tambahan kerusi baharu bagi DUN dan Parlimen.
Dalam pada itu, Kerajaan Persekutuan dilaporkan bersetuju secara prinsip untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan pertambahan wakil Parlimen Sabah dan Sarawak selaras dengan dasar di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pada majlis berkenaan, Scomm menandatangani perjanjian kerjasama telekomunikasi melibatkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), ITCC Penampang, Hyatt Regency dan U Mobile.






