KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah melupuskan pelbagai barang tiruan bernilai RM 375,210 dari sekitar Kota Kinabalu dalam Majlis Pelupusan Ekshibit Perdana hari ini.
Barang rampasan yang terlibat dalam pelupusan ini adalah barang tiruan seperti pakaian sukan, kasut, selipar, beg, jam tangan, minyak wangi, syampu, pencukur, pendrive, dan cakera padat yang membabitkan 11 kes selesai dan telah didapati bersalah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perihal Dagangan 2011.
Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas berkata, untuk sepanjang tahun 2023, KPDN Sabah telah melaksanakan 18 pelupusan dengan nilai ekshibit sebanyak RM1,045,644. Daripada nilai tersebut sebanyak RM396,998.07 telah dijadikan hasil Kerajaan.
“Bagi statistik penguatkuasaan KPDN Sabah, setakat bulan Januari hingga 21 November 2023, sebanyak 70,335 pemeriksaan telah dilaksanakan di premis-premis di seluruh negeri Sabah.
“Daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 1,096 kes telah dihasilkan melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perihal Dagangan 2011 dengan nilai kompaun sebanyak RM485,800, nilai rampasan sebanyak RM 5,941,181 dan nilai denda sebanyak RM123,000,” katanya.
Beliau turut mengingatkan para peniaga agar lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.
“Pengguna juga dinasihati supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya,” katanya.