Lelaki Cedera, Saga Bertembung Hilux di Jalan Beaufort-Sipitang

Lelaki Cedera, Saga Bertembung Hilux di Jalan Beaufort-Sipitang

0
SHARE

SIPITANG: Seorang lelaki cedera selepas kenderaan Proton Saga yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Toyota Hilux di Jalan Beaufort-Sipitang, pada petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.47 petang itu, mangsa dilaporkan berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Menyelamat Perawatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, PPgB Desmond Ak Micky @ Dominic berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 5.47 petang sebelum sepasukan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.58 petang dan mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah Proton Saga dan sebuah Toyota Hilux yang bertembung.

“Terdapat seorang mangsa lelaki mengalami kecederaan namun berjaya keluar sendiri dari kenderaan yang terlibat sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pasukan EMRS kemudian memberikan rawatan awal di lokasi sebelum mangsa dihantar ke Hospital Sipitang menggunakan jentera EMRS bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Sahdan Haji Basar dengan kekuatan keseluruhan 17 anggota daripada BBP Sipitang dan BBP Beaufort.

“Selepas memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi dan keadaan berada dalam keadaan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.34 petang,” katanya.

Operasi itu turut melibatkan penggunaan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Compact Fire Rescue Tender (CFRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS) serta kenderaan utiliti Navara.

Punca kemalangan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.