
Oleh: Mirlen Axtius
TONGOD: Bagi kebanyakan rakyat Malaysia hari ini, perjalanan ke hospital, sekolah atau pekan terdekat hanya mengambil masa beberapa minit dengan menaiki kereta atau motosikal menerusi infrastruktur jalan raya yang tersedia.
Namun realiti berbeza bagi lebih 2,500 penduduk di Mukim Kuamut, Tongod yang mana setiap urusan-urusan penting masih bergantung kepada laluan sungai dimana perjalanannya boleh memakan masa antara lima hingga tujuh jam serta kos tambang bot yang boleh mencecah RM700 sekali perjalanan.
Dalam situasi kecemasan seperti pesakit tenat atau ibu yang hendak bersalin, perjalanan panjang merentasi sungai bukan sekadar menyukarkan, malah menjadi penentu antara hidup dan mati.
Realiti yang sudah berlarutan sejak lebih enam dekad (60 tahun) mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah untuk berterusan memperjuangkan pembinaan jalan raya menghubungkan Kampung Kenang-Kenangan ke Desa Permai yang disifatkannya sebagai keperluan asas yang terlalu lama dinafikan kepada penduduk pedalaman.
Tegas Masiung, rayuan rasmi telahpun dikemukakan kepada kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah pada April lalu bagi membolehkan projek berkenaan disenaraikan semula dalam Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurutnya, projek jalan raya sepanjang 50 kilometer yang dianggarkan bernilai RM350 juta itu bukan sekadar pembinaan infrastruktur, sebaliknya merupakan talian hayat kepada ribuan penduduk yang selama ini terpisah daripada kemudahan asas.

“Saya bersimpati kerana lebih 2,500 penduduk di kawasan ini terpaksa membayar tambang bot antara RM500 hingga RM700 dan mengambil masa lima hingga tujuh jam untuk berurusan ke Pekan Tongod, Bukit Garam atau Kinabatangan.
“Mereka bukan meminta kemewahan. Mereka hanya mahu kemudahan asas yang sepatutnya dinikmati oleh setiap rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Kesyukuran PRN-16 dan Sambutan Hari Raya Aidiladha di Kampung Kuamut.
Mukim Kuamut yang meliputi beberapa perkampungan pedalaman termasuk Kenang-Kenangan, Tulang-Tulang, Tangkuyan, Desa Permai, Kuala Kuamut dan Tongkong, masih bergantung kepada laluan sungai sebagai nadi utama perhubungan.
Ketika musim hujan dan paras sungai berubah, perjalanan menjadi lebih sukar dan berisiko. Kanak-kanak perlu menempuh perjalanan yang panjang untuk mendapatkan pendidikan, manakala penduduk yang sakit sering berdepan kesukaran mendapatkan rawatan segera.
Masiung berkata, isu tersebut bukan perkara baharu kerana beliau telah memperjuangkannya sejak mula menjadi wakil rakyat pada tahun 2008.
“Saya telah bekerja keras memperjuangkan jalan raya ini sepanjang lima penggal kerana melihat sendiri kesukaran yang dialami rakyat. Keperluan ini sudah menghimpit kehidupan mereka sejak lebih 60 tahun.
“Apabila berlaku kes sakit tenat atau ibu yang hendak bersalin, mereka terpaksa mengambil masa antara lima hingga tujuh jam untuk sampai ke hospital dengan menaiki bot. Keadaan ini tidak sepatutnya terus berlaku pada zaman sekarang,” katanya.
Beliau mengakui terkejut apabila cadangan projek berkenaan tidak tersenarai dalam data RMK13 pada awal tahun ini walaupun telah berkali-kali dibangkitkan melalui Dewan Undangan Negeri Sabah.
Namun, beliau tidak berputus asa dan terus mengemukakan rayuan agar projek tersebut diberikan pertimbangan semula oleh kerajaan Persekutuan.
“Kerana itu saya mendesak agar jalan Kenang-Kenangan–Desa Permai disenaraikan semula dalam Rolling Plan RMK13.
“Saya mahu melihat penantian rakyat ini berakhir. Sudah terlalu lama mereka menunggu,” tegasnya.
Bagi penduduk Mukim Kuamut, pembinaan jalan raya itu bukan sekadar laluan penghubung antara kampung dan pekan. Ia melambangkan harapan untuk kehidupan yang lebih baik, akses yang lebih pantas kepada pendidikan dan kesihatan, serta peluang ekonomi yang selama ini sukar dicapai akibat keterasingan geografi.





