Isu Jeti Kahanga, Rumah Atas Air Di Semporna Perlu Penyelesaian Menyeluruh –...

Isu Jeti Kahanga, Rumah Atas Air Di Semporna Perlu Penyelesaian Menyeluruh – Abd Hajan

0
SHARE

SEMPORNA: Isu penutupan Jeti Awam Semporna (Jeti Kahanga) dan penempatan semula rumah atas air di daerah ini memerlukan penyelesaian menyeluruh serta berhemah tanpa mengetepikan status pemilikan tanah dan pelan pembangunan jangka panjang.

Mantan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sulabayan, Datuk Abd Hajan Gurimbang berkata, semua pihak perlu memahami situasi sebenar dan memberi ruang kepada pihak berwajib untuk melaksanakan perancangan yang lebih teratur demi masa depan rakyat.

Mengulas mengenai Jeti Kahanga, beliau menjelaskan bahawa tapak jeti berkenaan merupakan tanah milik swasta yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu bagi tujuan pembangunan hotel, manakala penggunaannya oleh Majlis Daerah Semporna (MDS) sebelum ini hanyalah sebagai kemudahan awam sementara.

“Status pemilikan tanah tersebut perlu dihormati dan diambil kira. Pada pandangan saya, pihak MDS seharusnya meneliti terlebih dahulu status pemilikan dan kegunaan tanah sebelum membina kemudahan awam di lokasi berkenaan bagi mengelakkan masalah seperti hari ini.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan bahawa MDS telah mengenal pasti dan mencadangkan satu tapak baharu yang lebih sesuai bagi pembinaan jeti awam demi menjamin kemudahan, keselamatan, dan keselesaan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Abd Hajan, kerajaan hari ini sedang berusaha mencari penempatan jeti baharu yang lebih selesa, khususnya untuk kemudahan bot-bot komuniti dari pulau, dan perkara itu kini berada dalam proses perancangan untuk dilaksanakan dengan segera.

Sementara itu, menyentuh isu rumah setinggan atas air, beliau menegaskan Semporna amat memerlukan pelan pembangunan yang tersusun memandangkan daerah berkenaan merupakan sebuah destinasi pelancongan yang sudah terkenal di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, mengikut perancangan kerajaan sebelum ini, rumah-rumah di atas air akan disusun semula dan ditempatkan ke satu kawasan baharu seluas kira-kira 290 ekar yang telah dikeluarkan daripada status Hutan Simpan (Forest Reserve).

“Kawasan ini dikhususkan untuk penempatan semula penduduk Kampung Air Simunul dan Kampung Bangau-Bangau. Sebelum ini juga pernah dikemukakan cadangan memindahkan penempatan setinggan di Kampung Air, Kampung Bangau-Bangau, dan Kampung Simunul ke kawasan Tinagayan Laut sebagai langkah penyelesaian jangka panjang.

“Melalui kerajaan hari ini yang sedang merancakkan usaha pembangunan, adalah diharapkan agar masyarakat Semporna dapat memahami situasi ini dan bersabar demi masa depan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, langkah penyusunan semula itu penting bagi membolehkan masyarakat menikmati kemudahan yang lebih selesa dan teratur, selaras dengan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Kata Abd Hajan lagi, kerajaan hari ini komited untuk meneruskan agenda perancangan yang telah diatur oleh kerajaan sebelum ini demi kepentingan rakyat dan kemajuan Semporna pada masa hadapan.