IPOH: Polis menahan pasangan tunang yang disyaki melakukan cubaan membunuh dengan melanggar anggota polis berpangkat Lans Koperal hingga parah di Tanjung Rambutan pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahya Hassan berkata, kertas siasatan telah dibuka berkaitan kes mendatangkan cedera parah dengan niat membunuh ke atas seorang pegawai rendah polis yang sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah bermotosikal.
“Bertindak atas maklumat, hari ini dalam tempoh kurang dari 24 jam, pihak polis daerah Ipoh berjaya menahan dan menangkap seorang lelaki dan seorang perempuan warga tempatan yang berumur 33 tahun dan 34 tahun.
“Pihak polis turut merampas sebuah kereta yang digunakan oleh kedua-dua suspek pada hari kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini pada Isnin.
Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek lelaki positif dadah jenis THC.
“Hasil semakan mendapati suspek lelaki tersebut mempunyai 17 rekod jenayah dan narkotik pelbagai kesalahan. Manakala, suspek perempuan mempunyai dua rekod kesalahan jenayah,” katanya.
Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada hari ini untuk permohonan reman.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan dan akan dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin bagi tujuan pendakwaan,” jelasnya.