KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah menyita sebuah Perodua Viva berwarna hitam dan mengeluarkan saman terhadap pemiliknya selepas kenderaan itu didapati ingkar arahan berhenti semasa operasi penguatkuasaan di sekitar Kota Kinabalu.
JPJ Sabah dalam kenyataan berkata, kenderaan berkenaan berjaya dikesan di sebuah rumah di Tuaran pada hari yang sama, 19 September lalu, sebelum disita untuk tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan melakukan beberapa kesalahan, termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan pemandu tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL).
“Pemandu juga didapati gagal berhenti apabila diarahkan serta memandu secara melulu dan membahayakan,” menurut kenyataan itu di laman Facebook semalam.
Menurut kenyataan itu, notis JPJ(P)22 dikeluarkan bagi tujuan saman, manakala notis JPJ 64(1) dikeluarkan bagi tindakan penyitaan kenderaan.
JPJ Sabah menegaskan bahawa setiap arahan berhenti yang diberikan oleh pegawai penguat kuasa wajib dipatuhi oleh pengguna jalan raya.
“Arahan berhenti daripada pegawai penguat kuasa hendaklah dipatuhi. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar serta melakukan kesalahan di bawah undang-undang jalan raya,” katanya.






