KOTA KINABALU: Dua orang pelancong warga China cedera selepas dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Viva dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku di Jalan Pasir, Likas, berhampiran Masjid Bandaraya, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, pihak polis menerima laporan mengenai insiden tersebut yang berlaku sekitar jam 4.04 petang.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu wanita tempatan terbabas dan melanggar dua pelancong terbabit yang ketika itu sedang mengambil gambar di tepi jalan.
“Akibat rempuhan tersebut, salah seorang mangsa mengalami kecederaan pada bahagian telinga, pipi, tangan dan kaki, manakala seorang lagi mengalami kecederaan ringan.
“Kedua-duanya telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk menerima rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Pemandu kereta berkenaan telah dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kota Kinabalu di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.
Polis pada masa sama turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa memandu serta mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.






