BUNYI LETUPAN KUAT GEMPARKAN PENDUDUK LABUAN, SIPITANG, BEAUFORT, MENUMBOK DAN KUALA PENYU

BUNYI LETUPAN KUAT GEMPARKAN PENDUDUK LABUAN, SIPITANG, BEAUFORT, MENUMBOK DAN KUALA PENYU

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Penduduk sekitar Sipitang, Beaufort, Menumbok dan Kuala Penyu serta Labuan digemparkan dengan bunyi letupan dan sedikit gegaran selama beberapa saat kira-kira jam 11 pagi tadi, hari ini (Ahad).

Menurut sumber, bunyi letupan kuat seperti guruh dan gegaran itu dirasai selama kira-kira lima (5) hingga enam (6) saat.

Perkara itu menjadi tular selepas ramai pengguna media sosial terutamanya di kawasan terbabit berkongsi peristiwa itu serta masih tertanya-tanya punca dan lokasi bunyi letupan itu.

Seorang pekerja binaan di Beaufort, Jamlan Zainudin, 44, berkata pada mulanya beliau menyangka rumah yang dibaik pulihnya roboh.

“Kejadian itu berlaku sekejap, mulanya bunyi dentuman selepas itu bergegar sehingga menyebabkan penduduk di sini panik.

“Kami semua keluar dari rumah ingatkan rumah roboh. Saya dan rakan-rakan kemudian menghubungi ahli keluarga untuk pastikan mereka selamat,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Seorang guru, Aminah Siddek, 38, yang tinggal di Sipitang pula berkata beliau dan keluarga terus keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri setelah merasai gegaran tersebut.

“Mulanya ingat ada kejadian gempa bumi di kawasan sekitar, tetapi tiada pula jumpa apa-apa maklumat, bila buka Facebook penuh cerita sampai ke Labuan merasai gegaran ini,” katanya.

Perkara ini juga telah menyebabkan segala pertanyaan penduduk sekitar yang terlibat sehingga kini masih berteka-teki dengan mereka masing-masing mengeluarkan pelbagai andaian serta spekulasi masing-masing terhadap peristiwa berkenaan.

Oleh itu, pihak berkuasa termasuk Polis dan Bomba setakat ini memaklumkan bahawa mereka masih mencari punca bunyi letupan atau gegaran itu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak mengakui keadaan sedikit gempar ketika ini di daerah berkenaan.

“Saya sudah berhubung dengan Ketua Polis Daerah Sipitang dan beliau mendakwa terdengar bunyi letupan kuat dari arah Lawas, Sarawak…

“Saya juga berhubung dengan polis Labuan tetapi bom lama yang ditemukan sebelum ini juga sudah dimusnahkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan atau aduan daripada mana-mana pihak yang menyatakan lokasi letupan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, pihaknya sedang berusaha mencari punca bunyi letupan.

“Saya juga dengar bunyi seperti guruh dari arah Labuan. Kita sedang mencari kemungkinan punca daripada ‘pipe line’ gas ke Miri tetapi perkara ini belum disahkan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Zon Bomba Beaufort, Anddre Andrew turut berkata, setakat ini Balai Bomba dan Penyelamat di bawah zon Beaufort tidak menerima sebarang panggilan operasi.

“Setakat ini tidak pasti punca daripada apa…

“Pihak bomba pun tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berkaitan bunyi itu namun hanya panggilan daripada orang ramai diterima untuk bertanya punca bunyi itu,” katanya.

Berikut merupakan beberapa komen dan pertanyaan para pengguna laman sosial Facebook yang berada di sekitar yang terbabit;