Vaksin Dos Pertama COVID-19 Akan Tiba Di Mesir Hari Ini

Vaksin Dos Pertama COVID-19 Akan Tiba Di Mesir Hari Ini

0
SHARE

KAHERAH, MESIR – Vaksin dos pertama COVID-19 yang dibangunkan firma farmaseutikal gergasi AstraZeneca  akan tiba di Mesir hari ini (Ahad).

Menurut satu kenyataan pihak berkuasa Mesir, pihak mereka akan bertanggungjawab dalam perolehan farmasi mengumumkan, ketibaan kumpulan pertama vaksin AstraZeneca-Oxford.

Pada minggu lalu, pegawai memaklumkan mereka menempah 20 juta dos seperti dilaporkan media negara itu.

Mesir, negara Arab yang memiliki penduduk paling ramai, iaitu kira-kira 100 juta orang merekodkan hampir 165,000 kes COVID-19, termasuk lebih 9,200 kematian.

Memetik laporan AFP, beberapa pegawai kesihatan mendakwa kadar jangkitan yang diumumkan di negara itu lebih rendah, berbanding angka sebenar.

Mesir mula memberi suntikan vaksin kepada petugas kesihatan menggunakan vaksin Sinopharm yang dibangunkan firma China, pada 24 Januari lalu.

Ia dos pertama yang diterima negara itu, pada Disember tahun lalu.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Hala Zayed, berkata 1,315 petugas kesihatan menerima suntikan dos pertama.

Suntikan seterusnya akan dilakukan membabitkan warga emas dan individu menghidap kesihatan kronik.

AstraZeneca pada mulanya dipuji kerana pantas dalam penghasilan vaksin, namun dikritik pula selepas itu kerana berdepan kelewatan penghantaran ke negara Kesatuan Eropah (EU), susulan masalah pengeluaran.

Institut Robert Koch dari Jerman antara pakar yang mempersoal suntikan bagi golongan lebih 65 tahun, apabila mendakwa terdapat kelemahan dalam data ujian.