PENAMPANG, SABAH – Persidangan Agung dan Konvensyen Persatuan Guru Besar Malaysia Negeri Sabah Kali Kedua mencatat sejarah apabila berjaya menghimpunkan lebih 1,000 orang guru besar.
Berlangsung selama tiga hari mulai Selasa, julung-julung kalinya, guru-guru besar dari seluruh Sabah melibatkan 24 Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) serta 100 orang pesara guru besar di Dewan Pusat Konvensyen dan Teknologi Antarabangsa (ITCC) Penampang.
Malah, kehadiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Exco Agama dan Pendidikan Negeri Sabah mengujakan warga pendidik, sekaligus membuktikan keseriusan kerajaan negeri yang menetapkan modal insan dan kesejahteraan rakyat sebagai teras ketiga dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Ketika berucap merasmikan konvensyen itu, Hajiji mahu guru besar terus memainkan peranan untuk memastikan kejayaan transformasi pendidikan digital sekolah di negeri ini.
“Kerajaan negeri komited untuk menyokong pelbagai inisiatif dan program yang bertujuan meningkatkan infrastruktur digital di sekolah-sekolah.
“Era digital telah membawa perubahan dalam setiap aspek kehidupan kita, termasuk dalam bidang pendidikan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa sistem pendidikan turut beradaptasi dengan perubahan ini.
“Pendidikan digital bukan sahaja sekadar penggunaan alat teknologi dalam proses pengurusan, pengajaran dan pembelajaran.
“Pendidikan digital adalah penting untuk kita membudayakan penggunaan teknologi sebagai bahan interaktif untuk meningkatkan kualiti pembelajaran, memupuk pemikiran kritis, dan melahirkan generasi yang inovatif dan kreatif,” ujar beliau.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah,Indang Kasi Sibin.
Sementara itu, Pengerusi PGBM Sabah, Nordin Mohd Taip dalam ucapan aluannya berkata perhimpunan tiga hari itu memberi peluang kepada para ahli PGBM Sabah untuk berkongsi ilmu serta berbincang berkaitan dasar hala tuju pendidikan di Sabah.
“Semua ini membuktikan hala tuju persatuan bukan sekadar pentas untuk kami berbincang berkaitan hal-hal kebajikan ahli semata-mata tetapi kami juga berperanan kuat sebagai penyokong dasar-dasar kerajaan, dasar-dasar kementerian pendidikan dan dasar pendidikan negeri.
“Dalam konvensyen ini, lebih 100 orang peserta guru besar yang telah bersara pada tahun ini diraikan persaraan mereka oleh Pengarah Pendidikan Sabah pada Selasa malam.
“Istimewanya, semua pesara ini dihadiahkan dengan sekeping sijil ucapan penghargaan yg ditandatangani sendiri oleh YAB Ketua Menteri Sabah dan Datuk Pengarah.
“Ia hadiah bermakna apabila digantung di rumah dan akan menjadi tatapan anak cucu mereka sampai bila-bila,” ujar beliau.
Pada majlis itu, Arifin menyampaikan Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) bernilai RM1 juta kepada Raisin, sambil disaksikan oleh Hajiji.
Konvensyen Persatuan Guru Besar Malaysia Negeri Sabah Kali Pertama diadakan di Tawau pada tahun lepas. — JABATAN PENERANGAN SABAH