TUARAN: Penduduk Kampung Baru-Baru dan kawasan sekitarnya mendapat manfaat daripada pelbagai pemeriksaan serta khidmat kesihatan menerusi Program Kem Perubatan Kampung Baru-Baru yang diadakan di Dewan Kampung Baru-Baru, di sini, hari ini.
Program yang berlangsung dari jam 6 pagi hingga 12 tengah hari itu menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan secara terus kepada masyarakat, khususnya penduduk luar bandar yang mungkin berdepan kekangan untuk mendapatkan pemeriksaan secara berkala.
Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Mohammad Ghazali Hajiji berkata, penganjuran program seumpama itu penting bagi memastikan perkhidmatan kesihatan tidak hanya tertumpu di hospital dan klinik, sebaliknya dapat dibawa lebih dekat kepada masyarakat.
“Program seperti ini membuktikan bahawa perkhidmatan kesihatan perlu dibawa lebih dekat kepada masyarakat, khususnya penduduk kampung.
“Pemeriksaan secara berkala sangat penting kerana terdapat penyakit seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis yang boleh berlaku tanpa menunjukkan tanda-tanda jelas pada peringkat awal.
“Jangan tunggu sehingga kita sakit atau keadaan menjadi serius sebelum mendapatkan pemeriksaan. Kesihatan diri adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya ketika merasmikan program berkenaan bagi mewakili Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor.
Seramai lapan doktor terbabit dalam program berkenaan dengan menyediakan pelbagai pemeriksaan dan khidmat kesihatan kepada penduduk.
Antara perkhidmatan disediakan termasuk ujian saringan Pap smear dan pemeriksaan payudara bagi wanita, pemeriksaan pergigian dan mata, ceramah kesihatan serta pengenalan asas resusitasi kardiopulmonari (CPR).
Lebih 100 hadiah turut disediakan kepada pengunjung yang menjalani pemeriksaan kesihatan, selain makanan ringan sepanjang program berlangsung.
Ghazali turut menyeru ibu bapa supaya sentiasa memberi perhatian terhadap tahap kesihatan anak-anak, manakala warga emas digalakkan menjalani pemeriksaan secara berkala dan mendapatkan nasihat petugas kesihatan sekiranya mengalami sebarang masalah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Lembaga Pelawat Hospital Tuaran bersama seluruh warga Hospital Tuaran atas inisiatif menganjurkan program berkenaan.
Katanya, usaha seumpama itu diharap dapat diteruskan dan diperluaskan ke kampung-kampung lain di sekitar daerah Tuaran supaya lebih ramai penduduk mendapat akses kepada pemeriksaan serta kesedaran kesihatan.
Turut hadir Pengarah Hospital Tuaran, Dr Primus John; Pengerusi Penganjur, Datuk Dr G. Morhan; Ahli Lembaga Pelawat Hospital Tuaran, pegawai perubatan, jururawat, pemimpin masyarakat serta sukarelawan.






