BONGAWAN: Lima individu termasuk dua remaja dan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun cedera selepas Perodua Axia dinaiki mereka terbabas sendiri di Jalan Bongawan pada petang Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, PKPgB Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.33 petang sebelum enam anggota bersama sebuah jentera LFRT digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.45 petang dan mendapati sebuah Perodua Axia terbabas di tepi jalan dengan lima mangsa mengalami kecederaan.
“Seorang daripada mangsa didapati tersepit di dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya (RTA).
“Kesemua lima mangsa yang cedera kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 51 tahun, wanita berusia 49 tahun, remaja perempuan berusia 17 tahun, lelaki berusia 23 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Nelson berkata, operasi ditamatkan pada jam 5.10 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
Operasi turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.






