Pembangunan Luar Bandar Termasuk Jalan Raya Dilaksana Secara Berperingkat – Julita

Pembangunan Luar Bandar Termasuk Jalan Raya Dilaksana Secara Berperingkat – Julita

0
SHARE

MATUNGGONG: Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada keperluan pembangunan masyarakat luar bandar, termasuk kemudahan asas, jalan raya dan infrastruktur komuniti, kata Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki.

Beliau berkata, pelaksanaan pembangunan perlu dibuat secara berperingkat berdasarkan keutamaan, keperluan setempat dan kemampuan peruntukan kerajaan.

Setiap permohonan akan kita teliti dan usahakan secara berfasa supaya pembangunan dapat dilaksanakan mengikut keutamaan serta memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan Gereja Kampung Tagumamal Darat di sini, pada Sabtu.

Menurut Julita, yang turut merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, antara keperluan yang dibangkitkan termasuk menaik taraf jalan dan penyediaan dewan serbaguna untuk kegunaan masyarakat setempat.

“Pendekatan kita adalah memastikan setiap keperluan diteliti melalui saluran yang sewajarnya. Sekiranya tidak dapat dilaksanakan serentak, kita akan melihat keutamaan dan mengusahakannya secara berperingkat,” katanya.

Dalam pada itu, Julita berkata kerajaan turut menyediakan beberapa skim perumahan yang boleh dimanfaatkan oleh keluarga yang memenuhi syarat.

Beliau turut mengumumkan kelulusan pembelian sebuah televisyen LED bagi kegunaan Gereja Kampung Tagumamal Darat.

Turut hadir Bishop Rev Christopher Ogondong dan Pengerusi Gereja Stephen Singkong.