Jangan Cemarkan Perayaan Hari Malaysia – Mustapha

Jangan Cemarkan Perayaan Hari Malaysia – Mustapha

0
SHARE
Mustapha
Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud

KUALA LUMPUR – Rancangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan demonstrasi sempena Hari Malaysia hanya akan menjejaskan sambutan yang sepatutnya di sambut dengan penuh keharmonian.

Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud berkata, sambutan 60 tahun pembentukan Malaysia tahun ini sepatutnya dijadikan wadah didikan generasi muda.

“Mengajak generasi muda untuk turun berdemonstrasi bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia bukan saja tidak menghormati perayaan nasional ini tapi memberi isyarat yang tidak baik.

“Diharap generasi muda yang sayang kepada negara ini dan berfikiran rasional tidak akan terjebak dengan seruan untuk berdemonstrasi ini,” katanya.

Mustapha, yang juga Setiausaha Pakatan Harapan Sabah berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani sedang memastikan generasi muda dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Ini dengan menyediakan akses pendidikan yang berkualiti, peluang pekerjaan baru, gaji yang progresif dan jaringan perlindungan yang komprehensif.

“Marilah kita bersama-sama meraikan sambutan Ulang Tahun Hari Malaysia ke 60 dengan tekad dan semangat baru dalam memastikan negara ini akan terus diperkasakan dan menjadi antara peneraju ekonomi dirantau ini.

“Generasi muda perlu mencorakkan masa depan negara ini dengan teras keharmonian dan perpaduan yang dihasratkan oleh generasi terdahulu.

“Kita mahu agar generasi pelapis negara ini akan menyambut Ulangtahun ke 100 tahun nanti dengan penuh keharmonian dengan prinsip kepelbagaian dalam bingkai kesatuan,” katanya dalam sebuah kenyataan.