KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan hampir RM 64.7 juta khusus kepada Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir dan Guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) di Sabah tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata agihan peruntukan kewangan persekutuan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi 2023 untuk negeri Sabah berjumlah RM 64, 696,575.60 tersebut merupakan imbuhan tahunan dan elaun membabitkan 6,857 orang.
“Semoga dengan peruntukan tersebut pengurusan hal ehwal Islam di Sabah akan dapat terus diperkasakan bagi membina generasi Al-Falah selaras aspirasi membangunkan Malaysia Madani,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.
Menurutnya, Tun Juhar menyambut baik usaha memperkasakan perkembangan mahkamah syariah di Sabah dan salah satu cadangan adalah dengan menyamaratakan umur persaraan hakim syarie dengan hakim mahkamah sivil iaitu kepada 66 tahun.
“Sekarang umur persaraan hakim syarie di seluruh negara adalah 60 tahun dan semoga dengan perkhidmatan yang dapat dilanjutkan anak-anak negeri Sabah yang menjadi Ketua Hakim Syarie mampu menyumbang kepada perkembangan perundangan serta kehakiman syariah di negeri ini” ujar beliau.
Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff serta Pengarah Wilayah TH Sabah dan Sarawak, Datin Nurlaila Said. — JABATAN PENERANGAN SABAH