TKM Minta MPS Tangani Masalah Sampah Di Kampung Sim-Sim

TKM Minta MPS Tangani Masalah Sampah Di Kampung Sim-Sim

0
SHARE
Sampah
Keadaan kawasan beberapa buah rumah yang dikelilingi sampah- sarap ketika D Joachim berada di Kampung Sim-Sim ( Sumber Foto: Ihsan KKTP )

SANDAKAN, SABAH – Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam meminta Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk menangani masalah sampah di Kampung Sim-Sim, di sini, Selasa lepas.

Ini selepas beliau mengadakan lawatan ke perkampungan air itu hari ini untuk melihat sendiri masalah sampah yang dihadapi oleh penduduk sejak sekian lama.

“Masalah sampah ini sudah lama dihadapi oleh penduduk di perkampungan air itu. Sampah dibawa oleh arus pergerakan laut sehingga menjadi longgokan sampah.

“Perkara ini menarik perhatian saya dan pada hari ini (Semalam), saya bersama Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Henry Idol telah berbincang bersama dengan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Datuk Dr Jamili Nais untuk menangani isu yang sudah dihadapi sekian lama oleh penduduk perkampungan air ini,” kata Joachim.

Dr. Joachim berkata, Sim-Sim berpotensi untuk menarik pelancong untuk datang ke sini untuk menikmati makanan laut yang segar.

Joachim
Dari kiri, Joachim, Henry, Frankie dan Dr. Jamili mendengar taklimat daripada Pegawai MPS ketika mengadakan lawatan ke Kg. Sim-Sim bagi meninjau keadaan sampah di perkampungan air terbabit ( Sumber Foto: Ihsan KKTP )

Jika masalah ini tidak dibendung, ia akan memberikan imej yang tidak menyenangkan kepada pengunjung yang datang ke restoran di sini, tambahnya.

Sementara itu, Henry berkata, MPS akan berusaha gigih menangani masalah ini dan salah satunya ialah dengan melantik kontraktor untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

Beliau juga memohon kerjasama penduduk setempat agar tidak membuang sampah di merata-rata tempat.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung.