PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) melantik pengerusi bagi tujuh biro utama dalam usaha memperkukuh organisasi, gerak kerja parti serta sokongan akar umbi.
Pelantikan itu diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) pertama bagi sesi 2026–2029 yang dipengerusikan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam di Ibu Pejabat PBS, Donggongon, di sini.
Tujuh pengerusi yang dilantik ialah, Datuk Joniston Bangkuai bagi Biro Disiplin dan Tatatertib, Datuk Lo Su Fui (Biro Sosio-Ekonomi), Datuk Ruslan Muharam (Biro Kebajikan dan Bencana Alam) serta Datuk Julita Majungki (Biro Pembangunan Kepimpinan).
Turut dilantik ialah Datuk Hendrus Anding bagi Biro Pendidikan dan Latihan Kemahiran, Datuk Dr Christoper Mandut (Biro Pembangunan Belia dan Beliawanis) serta Datuk Jonnybone Kurum (Biro Pembangunan Keusahawanan).
Joachim berkata, setiap biro perlu memainkan peranan aktif dan melaksanakan program berimpak yang memberi manfaat kepada ahli parti serta rakyat Sabah.
“Jawatan dalam PBS bukan hadiah. Jawatan adalah amanah. Saya mahu setiap biro bekerja, turun padang dan membawa hasil yang dapat dirasai oleh ahli dan rakyat Sabah,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, PBS merancang mengadakan Jelajah Kepimpinan Tertinggi ke enam zon bermula seawal Januari 2027 bagi mendekati ahli, mendengar pandangan akar umbi dan memperkukuh perpaduan parti.
Mesyuarat turut bersetuju mengemukakan kertas cadangan penambahan kerusi Parlimen Sabah kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk pertimbangan, membabitkan kawasan seperti Kota Marudu, Tuaran, Keningau, Tenom dan Tawau serta beberapa kawasan lain.






