
KOTA KINABALU, SABAH – TIGA (3) orang pelajar dari Kolej Vokasional Keningau (KV) Sabah telah melakar nama di peringkat antarabangsa di mana mereka berjaya menerbitkan karya asli di majalah sastera Margate Bookie edisi 2022.
Majalah sastera yang terkemuka di Uniter Kingdom itu hanya memilih sebanyak 50 karya terbaik dari seluruh dunia untuk diterbitkan setiap tahun.
Pengarah KV Sabah, Johari@Jaibet Bin Sabin dalam satu kenyataan media berkata pihak kolej berbangga dengan pencapaian ketiga-tiga pelajar ini kerana menghasilkan karya seni penulisan dan visual yang telah menerima pengiktirafan tersendiri melalui penerbitan.
“Pencapaian ini membuktikan kemampuan pelajar Sabah dalam bidang penulisan dan karya seni visual yang perlu diperkukuhkan lagi untuk menghasilkan rakyat yang berjiwa seni serta gemar menulis,” katanya.
Tiga pelajar tersebut menghasilkan karya mengikut minat masing-masing, iaitu Nur Rasya Aleeya Omarpudin, 17, mendedikasikan lukisannya yang bertajuk “Inner Peace” kepada ibunya yang telah mengharungi pelbagai dugaan namun kekal sabar dan tenang.
Griselda Gilbert, 18, pula telah menulis esei mengulas pahit manis kehidupan yang membuatkan hidup lebih bermakna kerana ianya mengajar individu untuk sentiasa muhasabah diri.
Sementara itu, puisi hasil tulisan Ashraf Daniel Anuar, 17, yang bertajuk ‘I took it on myself’ merupakan rumusan pengalaman hidupnya dimana beliau mengakui telah melakukan kesilapan pada masa lepas dan perlu memaafkan diri sendiri untuk meneruskan kehidupan dengan prospek yang lebih sihat.
Tema majalah sastera terbabit bagi tahun ini adalah ‘The Open Arms’ yang bermaksud menerima suasana baru dengan hati dan minda terbuka ekoran pandemik yant melanda selama dua tahun.