PAHANG – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau telah menghubungi Ketua Pengarah Pendidikan berkenaan seorang guru yang didakwa dikenakan tindakan kerana mengkritik sistem pendidikan.
Beliau berharap situasi menang-menang dapat dicapai antara Kementerian Pendidikan dan guru tersebut.
“Saya menelefon Ketua Pengarah Pendidikan tentang guru yang tersebar tular dalam media sosial konon tindakan akan diambil terhadap beliau seperti dipecat, turun pangkat digantung dan macam-macam lagi.
“Surat tunjuk sebab itu perkara biasa dalam jabatan kerajaan, tetapi esok jawatankuasa disiplin akan bermesyuarat dan membuat keputusan selepas itu,” katanya.
Beliau berkata, dalam menjaga integriti, pihak kementerian perlu mengambil kira pelbagai pandangan dalam memutuskan tindakan dan penjawat awam pula perlu menghormati pihak kementerian.
Terdahulu, tular di media sosial rintihan seorang guru di sebuah sekolah kebangsaan mengenai surat daripada Kementerian Pendidikan memaklumkan beliau akan dipecat atau diturunkan pangkat kerana membuat kritikan di media sosial.
Antara kritikan yang dibuat guru berkenaan silibus yang tinggi dan padat, subjek yang banyak, beg berat, masa belajar subjek teras tidak mencukupi dan juga kewujudan ‘little napoleon’ dalam sistem pendidikan menyebabkan berlaku kerosakan.
Menurut Ismail Sabri, beliau tidak mahu mendahului keputusan jawatankuasa disiplin, namun percaya tindakan yang keras tidak akan berlaku dan perkara positif akan didengari esok.
“Saya dimaklumkan pagi tadi ‘viral’. Banyak komen netizen tindakan yang mungkin diambil…
“Ramai berikan komen negatif, sebab itu saya beritahu Ketua Pengarah Pendidikan dalam masa sama menjaga integriti pendidikan, mesti dengar pandangan masyarakat,” ujarnya.