Gerai-Gerai Haram Sumbang Kesesakan Jalan HQE I

Gerai-Gerai Haram Sumbang Kesesakan Jalan HQE I

0
SHARE

KOTA KINABALU: Tindakan salah seorang penjaja tanpa permit berniaga di penjuru bangunan Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) mencetuskan kesesakan lalu lintas serta mengundang risiko kepada pergerakan ambulans di kawasan kritikal itu.

Kejadian tersebut, yang dirakam orang awam pada Khamis, menunjukkan gerai kecil didirikan di tepi jalan sempit berhampiran laluan keluar masuk unit kecemasan.

Kedudukan gerai di selekoh ke Jabatan Kecemasan dan Trauma turut memburukkan keadaan apabila kenderaan lain diletakkan di kedua-dua bahu jalan, sekali gus menyebabkan laluan dua lorong menjadi satu.

Seorang pengadu mendakwa situasi itu menghalang kelancaran trafik dan menyukarkan pergerakan ambulans.

“Penjaja itu berniaga betul-betul di penjuru bangunan kecemasan hingga menyebabkan kesesakan. Ambulans juga berdepan kesukaran untuk melalui laluan tersebut,” katanya.

Susulan aduan berkenaan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memaklumkan tindakan penguatkuasaan telah diambil melalui Jabatan Penguatkuasaan.

Menurut DBKK, kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja serta UUK Anti Sampah Sarap.

Penjaja terbabit turut diarahkan menghentikan operasi serta-merta dan diberi amaran supaya tidak menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.

Insiden itu mencerminkan isu berlarutan di sekitar HQE selama beberapa dekad di mana akses pesakit terjejas termasuk warga emas dan pelawat yang terpaksa berjalan jauh atau menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Pada April lalu, kerajaan negeri mengumumkan langkah mempercepatkan kajian trafik di kawasan terbabit.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, Jabatan Kerja Raya telah diarahkan menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti penyelesaian jangka panjang.