KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berharap kerajaan tetap mengiktiraf pencapaian para atlet Ziyad Zolkefli dengan memberikan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
Peruntukkan itu khas untuk atlet yang mengharumkan negara di persada dunia.
Pada satu kenyataan hari ini, Shahril berkata pencapaian Ziyad dalam acara Lontaran Peluru F20 Paralympics semalam walaupun tidak diiktiraf oleh Majlis Paralimpik, adalah satu pencapaian yang cukup membanggakan negara dan mengegarkan dunia.
“Ziyad memecahkan rekod dunia bukan sahaja sekali, tetapi dua kali, dengan lontaran sejauh 17.62 dan 17.94 jauh meninggalkan petanding yang lain…
“Beliau memecahkan bukan sahaja rekod dunia paralimpik, tetapi juga rekod kebangsaan untuk atlit biasa dan atlit para yang cukup luarbiasa.
“Ziyad adalah pemenang pingat emas bagi Malaysia. Kita perlu memberi penghargaan kepada Ziyad sebagai tanda sokongan kami terhadap pengorbanan beliau sekian lama demi negara,” katanya.

Shahril berharap Ziyad “terus berjuang dan bersabar” sambil menjanjikan bahawa kontinjen Malaysia akan tetap menghantar bantahan rayuan kepada penganjur atas “satu keputusan yang tidak adil” dan “amat tidak mencerminkan semangat kesukanan” selepas selesainya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
“Tiada apa-apa yang sebab yang kamu perlu meminta maaf kerana kamu telah membuktikan diri kamu pada peringkat antarabangsa…
“Persembahan kamu membanggakan seluruh warga Malaysia dan kamu akan sentiasa disegani sebagai atlit yang terhebat dalam acara lontar peluru tersebut,” pesannya kepada Ziyad.