KOTA KINABALU, SABAH – Bagi rakyat pada umumnya, perkara yang paling penting dalam fikiran mereka ialah ekonomi kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, Datuk Yong Teck Lee.
Menurutnya, ia lebih berasas daripada retorik politik atau perkara seperti isu kaum, agama dan diraja (3R), kerana masih ramai rakyat sedang bergelut untuk terus bertahan, terutamanya golongan yang masih membayar pinjaman perumahan dan kereta.
“Ini adalah realiti yang disahkan oleh tinjauan terbaru yang dilakukan oleh organisasi penyelidikan bebas Ilham Centre pada bulan lalu.
“Kenaikan harga beras terkini telah menambah senarai panjang cabaran kewangan yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah.
“Sungguh menyedihkan bahawa ekonomi Malaysia dan rakan dagang pentingnya, China, belum pulih sepenuhnya daripada pandemik, menyebabkan banyak perniagaan masih bergelut untuk menebus kerugian,” katanya.
Yong berkaya Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg turut melahirkan kebimbangannya terhadap ketidakupayaan Malaysia untuk memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi akibat perbalahan politik di Semenanjung Malaysia.
Beliau mengkritik pemimpin yang mengeksploitasi isu perpecahan untuk kepentingan politik sambil menyeru keperluan perpaduan untuk menangani isu kritikal dan menggalakkan kemajuan negara walaupun perselisihan politik berterusan.
Menurut Ahli Parlimen Datuk Suhaili Abdul Rahman, kekurangan pelaburan di Labuan, walaupun status pelabuhan bebasnya diisytiharkan 15 tahun lalu, telah mengakibatkan aliran keluar pencari kerja muda ditambah lagi dengan penurunan dalam aktiviti minyak dan gas, pelancongan dan perniagaan runcit.
“Perbelanjaan persekutuan, terutamanya untuk projek infrastruktur, harus disegerakan untuk menyediakan rangsangan penting dan tertangguh kepada ekonomi tunai.
“Mengutamakan pelaksanaan projek pembangunan dan kelulusan pelaburan perniagaan adalah penting untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi secara keseluruhan.
“Rakyat Sabah digalakkan untuk mengambil bahagian dan menyumbang kepada inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ),” tegas Yong.






