KOTA KINABALU, SABAH – Polis Sabah berjaya merampas 50.25 kilogram syabu bernilai sekurang-kurangnya RM3 juta, dengan penahanan tiga rakyat Sarawak pada Khamis ( 7 September ).
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata rampasan dadah itu ialah yang terbesar bagi Sabah bagi tahun 2023.
“Suspek ditahan kira-kira 12.40 tengah hari ketika berada di dalam sebuah kereta Mazda yang berparkir di perhentian bas Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ( KKIA ).
“Ketiga-tiga lelaki berusia 27 hingga 38 tahun itu dipercayai sebahagian daripada sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
“Siasatan lanjut mendedahkan destinasi perjalanan jalan raya mereka adalah di Tawau sebelum dadah itu sampai ke pasaran Indonesia,” katanya pada sidang media hari ini.
Turut dirampas, barang kemas dan mata wang asing berjumlah RM17,067.
Suspek direman tujuh hari sehingga 14 September sementara kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa kepada hukuman mati mandatori.