KUALA LUMPUR: Dunia bola sepak bakal menyaksikan sejarah baharu apabila FIFA melancarkan Piala FIFA Asean, kejohanan yang menghimpunkan 11 negara anggota Asean dalam satu pentas bola sepak serantau.
Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata, kejohanan itu diwujudkan bagi menyemarakkan semula bola sepak di rantau ini dan menjadi simbol perpaduan melalui sukan paling popular di dunia.
“Ini bukan sahaja memberi impak kepada Asia Tenggara, tetapi juga kepada dunia,” katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pembangunan bola sepak antara FIFA dan Asean di sini, pada ahad.
MoU itu ditandatangani bersama Setiausaha Agung Asean, Dr Kao Kim Hourn, disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Asean 2025, serta pemimpin semua negara anggota sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47.
Infantino menyifatkan MoU itu istimewa kerana simbolik angka 11 yang mewakili pemain bola sepak, sambil menyatakan kejohanan ini akan menjadi lonjakan besar buat bola sepak rantau ini.
“Bola sepak menyatukan dunia, dan hari ini kita menyatukan dunia bersama 11 negara Asean. Piala FIFA Asean pasti akan berjaya,” katanya.
Beliau berkata Asia Tenggara mempunyai lebih 700 juta peminat aktif, menjadikannya antara pasaran bola sepak terbesar dunia.
Sementara itu, Anwar menzahirkan penghargaan kepada FIFA atas komitmen membangunkan bola sepak Asean, khususnya dalam memberi peluang kepada generasi muda dan belia luar bandar untuk menyerlah di peringkat antarabangsa.






