Vendor Tempatan Terus Diberi Keutamaan Dalam Projek Sabah Electricity

Vendor Tempatan Terus Diberi Keutamaan Dalam Projek Sabah Electricity

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) terus membuka peluang kepada vendor tempatan untuk memainkan peranan penting dalam pelaksanaan projek-projek di bawah rangka kerja Incentive Based Regulation (IBR), sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Hj Jaafar berkata, pelaksanaan pelbagai projek teknikal dan bukan teknikal bukan sahaja meningkatkan kecekapan sistem tenaga, malah memberi peluang luas kepada syarikat tempatan untuk terlibat dalam pembangunan infrastruktur tenaga di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau memaklumkan bahawa pada tahun 2024, nilai keseluruhan kontrak yang telah dianugerahkan kepada vendor tempatan mencecah RM406 juta, manakala setakat Julai 2025, jumlah kontrak yang telah diberikan bernilai RM117 juta.

“Sabah Electricity akan terus mengutamakan penyertaan vendor tempatan dalam kontrak tender terbuka kerana ia mampu memberi kesan limpahan ekonomi kepada kawasan sekitar dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.

Jelasnya, langkah itu selaras dengan komitmen Sabah Electricity untuk memastikan pembangunan tenaga turut memacu ekonomi setempat serta memperkukuh penyertaan industri tempatan dalam rantaian bekalan tenaga negeri.