LABUAN: Seorang peniaga hasil pertanian di pinggir Wilayah Persekutuan Labuan dikenakan kompaun selepas gagal mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2026.
Tindakan itu diambil susulan pemeriksaan harian yang dijalankan pada Rabu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan di premis-premis perniagaan sekitar kawasan luar bandar sepanjang tempoh skim berkuat kuasa.
Hasil pemeriksaan mendapati peniaga berkenaan gagal meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi item harga terkawal iaitu bawang putih yang tersenarai di bawah SHMMP TBC 2026. Barangan tersebut dipamerkan tanpa penandaan harga khas seperti yang diwajibkan.
Perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Barangan Harga Terkawal) yang dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].
Dalam satu kenyataan, KPDN WP Labuan berkata tindakan kompaun dikeluarkan di lokasi pemeriksaan selepas peniaga mengakui kesalahan tersebut.
“Sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP, semua peniaga diwajibkan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal. Kegagalan mematuhi arahan ini boleh mengelirukan pengguna serta menjejaskan ketelusan urus niaga,” menurut kenyataan itu.
Menurut KPDN, individu yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 oleh mahkamah atau dikompaun sehingga RM5,000. Bagi syarikat atau pertubuhan pula, denda boleh mencecah sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
KPDN WP Labuan menegaskan pihaknya akan terus mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan serta melindungi kepentingan pengguna sepanjang musim perayaan.






