PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peningkatan Pemberian Khas Interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sebagai langkah sementara sementara rundingan dan kaedah pelaksanaan hak 40 peratus hasil negeri ini dimuktamadkan.
Beliau menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak pernah menolak hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dan komited untuk melaksanakan janji berkaitan tuntutan 40 peratus yang termaktub sejak pembentukan Malaysia pada 1963.
“Untuk sekarang hari ini, interimnya dulu RM600 juta. Jadi untuk hari ini saya umumkan interim ini meningkat kepada RM1.5 bilion ringgit,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Penampang, pada hari ini.
Anwar berkata, Kerajaan MADANI sejak hari pertama pentadbirannya telah menetapkan bahawa pelaksanaan hak 40 peratus Sabah adalah satu dasar yang mesti dilaksanakan dan tidak boleh dipertikaikan.
Menurut beliau, isu yang sedang diperhalusi ketika ini bukan lagi soal dasar, sebaliknya berkaitan kaedah pelaksanaan yang memerlukan penelitian terperinci melibatkan aspek perlembagaan, kewangan dan implikasinya terhadap hubungan Persekutuan dengan negeri-negeri lain.
“Dasar hari pertama hanya Kerajaan MADANI pimpinan saya yang meletakkan no argument, it is a policy that must be implemented, period.
“Sekarang cabarannya bagaimana kaedah pelaksanaan. Bila bincang soal hak negeri dan perjanjian Persekutuan, ia tidak boleh diselesaikan dalam satu atau dua hari kerana setiap keputusan mempunyai implikasi kepada Sarawak dan negeri-negeri lain,” katanya.
Beliau berkata, Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah diarahkan mengadakan perbincangan terperinci bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah bagi memperincikan mekanisme pelaksanaan yang sesuai sebelum keputusan muktamad dibawa ke peringkat tertinggi kerajaan.
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menggunakan sebarang alasan untuk mengelakkan pelaksanaan hak tersebut.
“Bagi saya, tutup soal pertikaian sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak. Jangan orang pertikai keputusan kita untuk melaksanakan janji itu.
“Sama ada bulan Jun atau Disember, itu soal yang harus diputuskan oleh jawatankuasa berkaitan sebelum dibawa kepada kerajaan negeri dan rundingan antara Persekutuan dan negeri,” katanya.
Pada masa sama, beliau menolak dakwaan bahawa Sabah dianaktirikan atau dipinggirkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Katanya, berdasarkan data semasa, hasil yang dikutip di Sabah dianggarkan sekitar RM10 bilion setahun, manakala peruntukan perbelanjaan dan pembangunan yang disalurkan kepada negeri itu mencecah RM17 bilion.
“Ini tidak bermakna saya mahu nafikan hak 40 peratus itu. Kita memang harus beri perhatian kepada 40 peratus, tetapi jangan nafikan fakta dan mengatakan Sabah dianiaya atau dipinggirkan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan sedang melaksanakan langkah penjimatan perbelanjaan melibatkan kementerian-kementerian Persekutuan, namun menegaskan sektor pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur asas termasuk di Sabah tidak akan terjejas dengan pemotongan tersebut.
Menurutnya, keputusan menaikkan pemberian interim kepada RM1.5 bilion membuktikan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memenuhi komitmen terhadap Sabah sementara penyelesaian menyeluruh mengenai hak 40 peratus dimuktamadkan.






